Usrah

...pesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran...

Google

Friday, August 05, 2005

Pengacara tuduh al-Quran ajar bohong

WASHINGTON: Seorang pengacara program wawancara radio mencetuskan kemarahan umat Islam apabila membuat kenyataan yang mendakwa kitab suci al-Quran mengajar umatnya menipu.

Geoff Metcalf yang menggantikan pengacara asal di stesen radio WMAL-AM berkata: “Oh, ya, biar saya tambah sedikit sesuatu yang penting dan semua orang melupakannya tetapi menurut al-Quran, umat Islam tidak perlu memberitahu perkara benar kepada orang kafir, iaitu kita.

“Jadi, mereka sebenarnya dibenarkan menipu mengikut keadaan.”

Berikutan kenyataan itu, kebanyakan pemanggil juga meluahkan permusuhan serupa terhadap umat Islam dan kepercayaan agama Islam.

Sehubungan itu juga, kumpulan hak sivil Islam terkemuka dan kumpulan sokongan mendesak stesen radio itu menyedari peningkatan antiIslam akibat kenyataan Metcalf.

Majlis Perhubungan Amerika-Islam (CAIR) mengeluarkan desakan itu selepas kenyataan antiIslam Matcalf serupa dengan kenyataan Islamofobia yang dikeluarkan hos terdahulu.

Metcalf menggantikan Michael Graham, yang digantung kerja tanpa gaji oleh stesen berkenaan kerana berulang kali menyatakan ‘Islam ialah pertubuhan pengganas.’

Graham digantung selepas CAIR melancarkan kempen umum menentang WMAL dan pengiklan stesen radio itu selepas menerima aduan pendengar Islam.

Dalam kenyataannya, Presiden WMAL dan Pengarah Urusan, Chris Berry, berkata Graham digantung kerana kenyataan ‘yang melampaui batas’. – Agensi

“Kami tidak akan membiarkan kedudukannya dan percaya kenyataan Graham tidak bertanggungjawab,” kata Berry.

Pengarah Komunikasi CAIR, Ibrahim Hooper, berkata mereka menyokong kuat Pindaan Pertama tetapi ia satu perbuatan tidak jujur untuk menyalah gunakan ia sebagai perlindungan kepada hasutan membangkitkan kebencian berunsurkan agama.

“WMAL perlu menyedari promosi Islamofobia oleh hos rancangannya jika stesen itu ingin mengekalkan kepercayaan dengan pendengar dan pengiklan,” katanya.

Hooper berkata, CAIR menggesa umat Islam di kawasan Washington menghubungi pengiklan di WMAL dan meluahkan kebimbangan mereka.

Tambahnya, semua orang tidak kira agama boleh mendapatkan salinan al-Quran percuma untuk memahami isi kandungannya dengan lebih mendalam. — Agensi

Petikan: Berita Harian 5 Ogos 2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home