Usrah

...pesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran...

Google

Thursday, July 27, 2006

Siapa 'Terorist' Sebenar?

Inilah sasaran-sasaran sebenar Israel melalui serangan dan pengeboman yang ditujukan terhadap Lubnan tanpa perlu memikirkan apa jua kesannya.

Tuesday, February 14, 2006

Takaful

Insurans pendidikan kini pilihan ibu bapa

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KEBANYAKAN ibu bapa sekarang mulai sedar kepentingan mendapatkan perlindungan untuk anak-anak terutama dari aspek pendidikan. Bagi pasangan suami isteri Sharifuddin Baharudin, 34, dan Ku Marziahani Ku Mansor, 32, yang mempunyai dua cahaya mata, Nur Zulaikha, 7, dan Aimanuddin, 6, hampir setiap bulan mereka merancang kewangan dengan teratur bagi memastikan perbelanjaan tidak melebihi pendapatan.

“Kami buat akaun berapa duit yang masuk, keluar, perbelanjaan harian, simpanan, anak-anak dan untuk masa kecemasan. Lebih kurang macam kunci kira-kira,” ujar Sharifuddin.

Walaupun mempunyai dua orang anak, pasangan ini membuat perancangan awal untuk perbelanjaan pendidikan mereka pada masa depan supaya tidak timbul sebarang masalah apabila melanjutkan pelajaran ke universiti yang memerlukan kos yang agak tinggi.

Ku Marziahani yang lebih mesra dengan panggilan Kak Ani berpendapat, insurans merupakan satu bentuk tabungan yang menyediakan banyak kemudahan terutama dari segi perlindungan. Menyimpan dengan insurans juga dapat membentuk disiplin diri kerana kita terpaksa menyimpannya setiap bulan dan tidak boleh dikeluarkan sesuka hati.

“Kalau tidak bayar dalam empat bulan, contohnya, kemungkinan besar kita tak dapat perlindungan sekiranya sesuatu terjadi. Simpanan insurans lebih baik berbanding di bank. Sekiranya terjadi sesuatu ke atas pembayar atau penama, insurans akan meneruskan pembayaran setiap bulan sehinggalah polisi itu mencapai tempoh matang,” katanya yang berasal dari Kedah.

Secara tidak langsung ia dapat meringankan beban sekiranya berlaku perkara yang tidak disangka dan dapat melindungi masa depan anak-anak.

Ini kerana pendidikan menjadi agenda penting dalam pembangunan negara bagi melahirkan masyarakat yang berilmu. Namun, masih ada yang tercicir daripada mendapatkan pendidikan tinggi akibat kekurangan sumber kewangan.

Isu-isu tabung pendidikan yang kecoh diperkatakan seperti kegagalan sesetengah pelajar mendapatkan pinjaman dan kelewatan pembayaran yuran serta kos sara hidup di universiti sudah menjadi senario saban tahun setiap kali universiti memulakan semester.

Hakikat yang perlu diperhalusi daripada pelbagai isu yang timbul ialah sejauh manakah ibu bapa mampu merancang kewangan mereka agar anak-anak berupaya mendapat pendidikan sempurna. Untuk itu, tidak timbul soal pinjaman pendidikan yang menjadi polemik di kalangan masyarakat dan pemimpin negara.

Pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan terutama perkembangan sistem kewangan dan perbankan Islam di negara ini memberi banyak kelebihan kepada ibu bapa atau individu untuk menabung sebagai jaminan masa depan.

Pensyarah di Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Joni Tamkin Borhan berkata, kesedaran menabung sudah ada di kalangan masyarakat khususnya orang Islam cuma beberapa usaha perlu dipertingkatkan bagi memastikan konsistensi dapat diteruskan.

“Sebelum negara mencapai kemerdekaan, orang Islam tidak mempunyai tempat yang khusus untuk menyimpan dana sehinggalah Prof. Diraja Ungku Aziz memperkenalkan konsep Tabung Haji yang akhirnya ditubuhkan pada 1969 sebagai kemudahan tabungan untuk mengerjakan fardu haji dan institusi pelaburan bagi orang Islam. Kemudian, ia diperluaskan dengan kemunculan Bank Islam, koperasi dan sistem takaful. Insurans juga sebenarnya merupakan satu bentuk tabungan,” kata beliau.

Semakin hari masyarakat semakin sedar betapa perlunya mempunyai simpanan sebagai bekalan pada masa hadapan sekiranya berlaku tragedi yang tidak diingini atau demi pendidikan anak-anak. Ini terbukti dengan penyertaan masyarakat terhadap institusi tersebut.

Peningkatan perlu ada untuk memperkukuhkan kesedaran masyarakat supaya ia berterusan dan konsisten. Perancangan kewangan yang melibatkan pendapatan isi rumah dengan memberi keutamaan kepada keperluan yang lebih penting kena diberi perhatian.

Penggunaan kad kredit secara boros akan mengundang kemusnahan kepada konsep keluarga sakinah. Oleh itu, ibu bapa perlu mempunyai wawasan yang jauh demi masa depan anak-anak, selepas bersara atau terjadi perkara yang tidak dijangka.

Risiko

Sebenarnya, konsep merancang kewangan dan pengurusan risiko terkandung dalam firman Allah yang bermaksud: “Yusuf berkata: “Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuaikan hendaklah kamu biarkan pada tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sukar, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sukar) kecuali sedikit daripada (biji gandum) yang akan kamu simpan.” (Yusuf: 47 dan 48)

Kata Joni Tamkin, surah tersebut menerangkan keadaan pada zaman mewah, manusia diajar untuk menabung bagi menghadapi zaman kemelesetan ekonomi. Walaupun sudah 1,400 tahun, konsep demikian masih relevan dengan kehidupan masyarakat Islam hari ini.

Bagaimanapun, katanya, di Malaysia, masyarakat masih kurang faham tentang kepentingan insurans terutama kesedaran mengenai perlindungan masa depan anak-anak seperti pendidikan. Banyak pihak perlu memainkan peranan agar keperluan perlindungan pendidikan menjadi satu agenda penting dalam pengurusan kekeluargaan.

“Semasa saya menjadi felo di Victoria University of Wellington, New Zealand, saya dapati terdapat pelajar yang menyambung pelajaran di sana menggunakan dana hasil penyertaan dalam skim-skim insurans tertentu yang diuruskan oleh ibu bapa mereka sejak mereka kecil lagi. Maknanya, ibu bapa itu sedar tentang persediaan masa depan, sama ada pelajaran ataupun menghadapi perkara yang tidak dijangka seperti kemalangan,” ujar beliau mengenai kepentingan menabung demi pendidikan anak-anak.

Islam menyediakan banyak kaedah yang memberikan perlindungan ketika ditimpa musibah terutama sistem takaful yang diperkenalkan lebih 20 tahun lalu. Dari aspek ekonomi, Malaysia baru sahaja menguasai juzuk pelaburan industri perbankan berbanding konvensional.

Sistem takaful memberi kelebihan berbanding konvensional kerana tidak mengandungi unsur gharar, maysir dan riba.

Gharar atau ketiadaan kejelasan dalam akad atau perjanjian kedua-dua insurans nyawa dan am. Dalam perjanjian itu, biasanya pemegang polisi bersetuju membayar sekian banyak caruman dan jika ditimpa bencana, syarikat akan menjelaskan pampasan tetapi sumber wang pampasan diperoleh tidak jelas.

Unsur maysir atau perjudian berlaku khususnya dalam hal insurans nyawa iaitu apabila pemegang polisi meninggal dunia sebelum tamat tempoh perjanjian serta selepas membayar caruman yang dijanjikan dan kemudian diberikan pampasan yang tidak jelas asal usulnya. Syarikat insurans boleh mendapat untung atau rugi disebabkan oleh tuntutan yang seolah-olah bergantung kepada nasib kerana wujudnya unsur gharar.

Riba pula haram dalam Islam kerana membabitkan aktiviti-aktiviti pelaburan syarikat-syarikat insurans berkenaan.

Berdasarkan kepada sejarah, sistem ekonomi Islam sudah lama bertapak di Malaysia sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka dan beberapa peruntukan dalam Undang-undang Melaka yang menolak sebarang perdagangan melibatkan aktiviti riba dan menyarankan penggunaan kaedah mudarabah atau sistem perkongsian untung dan rugi.

Demikian juga dengan sebahagian masyarakat Melayu di Utara Perak, Kedah, Perlis dan Kelantan yang mengamalkan kontrak bay al-wafa iaitu kontrak jual janji dalam transaksi penjualan tanah untuk mendapatkan kredit pembiayaan yang bebas daripada amalan riba dan ia diamalkan sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu. Ini adalah kaedah mereka mendapatkan modal untuk pelaburan penanaman padi tanpa perlu meminjam daripada para pemberi hutang yang berasaskan riba.

“Dalam sejarah tamadun manusia, ekonomi Islam telah bermula sejak kurun ketujuh lagi manakala sistem ekonomi yang dibawa oleh British ke Tanah Melayu diperkenalkan pada kurun ke-18. Hampir 500 tahun kita dijajah dan ia memberi kesan yang cukup besar terhadap sistem ekonomi Islam. Ia menjadikan cara hidup Islam jauh terkebelakang dan tersorok. Apabila negara mencapai kemerdekaan, maka kita berhasrat untuk mengembalikan semula konsep ekonomi Islam,” kata Joni Tamkin menyorot kembali sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

Era Islam Hadhari di negara ini memberi ruang memperluaskan perlaksanaan sistem kewangan dan perbankan Islam. Bahkan, Malaysia merupakan negara Islam yang termaju dalam mempelopori sistem ekonomi Islam berbanding negara serantau dan Asia Barat. Dari segi pasaran modal juga, Malaysia lebih kehadapan.

Dalam erti kata lain, Malaysia menjadi pakar rujuk dalam bidang kewangan Islam bagi Indonesia, Thailand dan Brunei dan di peringkat antarabangsa.

“Kita paling maju dalam perbankan dan kewangan Islam kerana para ulama dan sarjana kita inovatif, kreatif dan dinamik dalam memperkenalkan produk dan mekanisme dalam bidang ini yang tidak ada pada zaman para ulama terdahulu seperti industri perbankan. Prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah fiqh yang ditulis oleh para ulama dahulu menjadi asas kepada pembangunan bidang perbankan dan kewangan Islam di Malaysia. Dari segi produk pula, kita banyak mencipta produk yang boleh diguna pakai oleh orang Islam dan bukan Islam,” ujar beliau.

Mengulas mengenai persaingan antara sistem takaful dengan konvensional, Joni Tamkin yang juga ahli Majlis Penasihat Syariah RHB Islamic Bank berpendapat, ia sebagai persaingan sihat kerana sistem konvensional sudah lama bertapak di Malaysia dan mempunyai modal yang besar.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada sejauh mana keupayaan untuk menarik orang menyertai dalam sistem berkenaan. Promosi melalui iklan, internet, e-dagang dan berdasarkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) boleh membantu memperluaskan maklumat sistem takaful,” jelasnya yang berpendapat penawaran produk yang kompetitif dari sudut perlindungan, manfaat dan pulangan pelaburan dapat menarik lebih ramai penyertaan.

Beliau juga menyifatkan keberanian para ulama mengisytiharkan sistem muamalat bagi memenuhi tuntutan semasa berlandaskan prinsip syariah menjadikan sistem ekonomi Islam tidak jauh ketinggalan.

Takaful

Selain itu, dengan adanya sokongan kerajaan dan peraturan undang-undang dapat memperkukuhkan lagi sistem takaful di negara ini. Peranan yang dimainkan oleh badan penasihat syariah yang berpusat di Bank Negara Malaysia dalam mengawasi transaksi perniagaan berlandaskan prinsip syariah turut memperkasakan sistem perbankan dan kewangan Islam di peringkat global.

Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 2003 merupakan antara pengendali sistem takaful di Malaysia. Menurut Pengurus Bahagian Pematuhan Syariah syarikat insurans itu, Mohd. Zamerey Abdul Razak, Takaful Ikhlas menawarkan dua produk untuk tabungan pendidikan iaitu Ikhlas Saving Takaful dan Ikhlas Education Takaful.

Melalui Ikhlas Education Takaful, peserta mendapat kelebihan dari segi simpanan dan perlindungan khusus untuk tabungan. Individu yang menabung RM200 sebulan dalam jangka masa 15 tahun tidak boleh menjamin tidak akan berlaku sebarang musibah dalam tempoh tersebut? Justeru, pembelian insurans pendidikan memberi kelebihan terhadap tabungan anak-anak dan keluarga jika ditimpa kemalangan atau kematian.

“Selain membangunkan produk untuk pendidikan, kami juga menyediakan anugerah pendidikan bagi peserta yang anak-anaknya mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” jelas beliau mengenai Ikhlas Education Takaful,” jelasnya.

Bagi ibu bapa yang terlewat membuka simpanan pendidikan anak-anak, mereka boleh menyertai Ikhlas Saving Takaful. Contohnya, ada ibu bapa yang baru menyedari bahawa betapa perlunya jaminan kewangan pendidikan ketika anak-anak sudah berumur 12 tahun.

Tambah Mohd. Zamerey, Takaful Ikhlas juga menyediakan produk berkelompok iaitu Skim Takaful Berkelompok Komprehensif (CGTS) yang melibatkan penyertaan minimum 20 orang. Kebiasaannya peserta terdiri daripada ahli yang berdaftar dengan persatuan kakitangan atau koperasi. Caruman yang dikenakan juga jauh lebih rendah berbanding individu.

“Sistem takaful seperti yang dijelaskan memberi kelebihan dari segi perlindungan dan pelaburan. Untuk tabungan perlindungan (tabarruq), ia akan digunakan untuk membiayai peserta yang ditimpa kemalangan atau diserahkan kepada ahli keluarga,” ujarnya mengenai kelebihan sistem takaful.

Bagaimanapun, katanya, masih ramai yang menganggap sistem takaful sebagai satu bebanan kerana terpaksa menyimpan setiap bulan sedangkan ia memberi jaminan dari segi perlindungan yang tidak diperoleh jika wang itu disimpan di bank.

“Konsep takaful seperti mana yang dinyatakan oleh para ulama diharuskan kerana konsepnya adalah saling membantu dan bekerjasama antara satu sama lain melalui wujudnya tabung perlindungan. Sistem insurans konvensional pula tidak menekankan konsep kerjasama,” kata Mohd. Zamerey.

Berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM), Kadar Penembusan Sijil Takaful adalah 5.5 peratus. Selain Takaful Ikhlas Sdn. Bhd., antara agensi yang telah melaksanakan sistem takaful di Malaysia ialah Syarikat Takaful Malaysia Bhd., Takaful Nasional Sdn. Bhd., Maybank Takaful Bhd. dan Commerce Takaful Bhd..

Terbaru, pada 31 Januari lalu, BNM meluluskan empat lesen baru insuran kepada empat konsortium dan usaha sama untuk mengendalikan konsep takaful yang menyaksikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengadakan kerjasama dengan HSBC Insurance (Asia-Pacific) Holdings Ltd. dan Jerneh Asia Bhd.. Bank Simpanan Nasional pula menjalin perikatan dengan Prudential Holdings Ltd..

Turut menerima lesen takaful baru itu ialah usaha sama Hong Leong Bank dengan Millea Asia (Japan) Pte. Ltd. dan Hong Leong Assurance serta kerjasama antara MAA Holdings Bhd. dan Solidarity Co., Bahrain.

Friday, February 10, 2006

Lima kunci perkara ghaib

DARIPADA Ibnu Umar daripada Nabi Muhammad SAW bahawa Baginda bersabda bermaksud: “Lima kunci perkara ghaib, tidak mengetahuinya melainkan Allah iaitu tiada mengetahui apa yang tersimpan di dalam rahim (kandungan perempuan) melainkan Allah. Tiada yang mengetahui apa yang akan terjadi esok hari melainkan Allah. Tiada seorang pun yang mengetahui bila waktunya hujan melainkan Allah. Tiada seorang pun mengetahui di negeri mana dia akan mati melainkan Allah. Tiada yang mengetahui bila kiamat akan terjadi melainkan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari)

Pemilik ilmu itu adalah Allah. Tiada sesuatu pun yang luput daripada pengetahuan-Nya, yang nampak mahupun yang tersembunyi.

Manusia dan makhluk lainnya tidak diberi ilmu oleh Allah melainkan hanya sedikit.

Hakikatnya, ilmu manusia jika dibandingkan dengan ilmu Allah ibarat setitik air dalam lautan.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Tuesday, January 03, 2006

Selamat Tahun Baru 2006

JADI KEBANGGAAN DANGA BAY...Tin-tin dan botol arak yang disusun menjadi kebanggaan sempena sambutan Tahun Baru di Danga Bay 31 Disember baru-baru ini. Gelagat remaja juga membimbangkan dan membayangkan keruntuhan akhlak remaja sekarang. Mereka tidak segan bercium dan berkucupan di khalayak ramai semasa sambutan tersebut walaupun jam sudah 3 pagi. Islam Hadhari?

Thursday, December 29, 2005

Pendidikan Sex

Banyak hukum titik berat pendidikan seks
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

ISLAM adalah agama yang cukup indah dan lengkap dalam setiap aspek kehidupan manusia sejagat. Antara persoalan yang turut disentuh Islam dalam kehidupan umat manusia ialah persoalan seks.

Apabila berbicara mengenai seks, kebanyakan orang akan menganggapnya sebagai perkara sensitif yang tidak boleh dibincang secara terbuka, sedangkan Islam menganjurkan umatnya agar bertanya segala masalah agama kepada orang alim.

Pengabaian persoalan seks juga dikatakan antara faktor yang menyumbang kepada berleluasanya kemelut sosial yang semakin meruncing di kalangan remaja dewasa ini.

Justeru, pendidikan seks perlu diberi perhatian serius oleh ibu bapa secara khusus ketika mendidik anak-anak mereka agar menjadi insan yang bertakwa kepada Allah.

Islam tidak ketinggalan menyediakan garis panduan kepada umat manusia agar mendidik nafsu syahwat mereka selaras dengan nilai agama hingga berubah menjadi nafsu yang dirahmati dan diredai Allah.

Menurut perspektif Islam, pendidikan seks adalah sebahagian daripada pendidikan akhlak yang didasari asas iman.

Konsep awal daripada pendidikan seks dalam Islam ini dimulai dengan pengertian aurat iaitu bahagian tubuh yang wajib ditutup, tidak boleh diperlihatkan dan kita pun tidak boleh melihat aurat orang lain.

Bagi lelaki, auratnya antara pusat hingga ke paras lutut, manakala aurat wanita pula ialah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan dua tapak tangannya.

Dalam hal ini, tidak ada sebarang kelonggaran atau keuzuran bagi seseorang untuk mendedahkan auratnya kepada orang lain kecuali untuk tujuan perubatan dan sebab yang dibenarkan syarak.

Amat mendukacitakan terdapat sebilangan umat Islam yang sanggup mendedahkan aurat mereka dengan alasan untuk mencari rezeki atau dengan alasan kebebasan atau sebagainya.

Hujah itu datang daripada seorang yang jahil dan dangkal ilmu Islamnya kerana Islam tidak menghalalkan matlamat mencari rezeki sebagai perbuatan baik jika caranya salah.

Seterusnya, Islam juga memerintahkan ibu bapa memisahkan tempat tidur anak apabila sampai masa dengan menyediakan bilik khusus untuk anak lelaki dan perempuan.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Suruhlah anak kamu menunaikan solat apabila berusia tujuh tahun dan pukul mereka apabila berusia sepuluh tahun (jika masih belum menunaikan solat) serta asingkan tempat tidur mereka. (Riwayat Tirmizi dan Abu Daud)

Selain itu, anak sewajarnya dijelaskan berkenaan adab kesopanan di dalam rumah dan juga di luar rumah.

Ibu bapa hendaklah mendidik anak sejak kecil mengenai adab meminta izin dalam rumah tangga iaitu meminta izin untuk masuk ke bilik ibu bapanya.

Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya: “Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umurnya) meminta izin. (Surah al-Nur, ayat 59)

Seterusnya, pendidikan seks juga bererti mendidik anak dan orang dewasa agar sentiasa menjaga pandangan mata termasuk seseorang Muslim dilarang memandang benda haram seperti menonton filem lucah, membaca bahan lucah dan melihat gambar seks.

Malahan, lelaki wajib menundukkan pandangannya apabila melihat perempuan seperti yang dinyatakan Allah dalam surah al-Nur, ayat 30 yang bermaksud: “(Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang mereka kerjakan.

Perintah menundukkan pandangan mata bukan hanya kepada lelaki, bahkan perempuan juga turut sama diwajibkan menundukkan pandangan mereka di samping memelihara aurat dan kehormatan.

Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mata mereka (daripada memandang yang haram), memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. (Surah al-Nur, ayat 31)

Di samping itu, anak hendaklah diajar agar tidak bergaul bebas antara lelaki dan perempuan serta tidak berdua-duaan dengan bukan mahram.

Huraian al-Quran dan juga penjelasan hadis Rasulullah berkaitan proses kejadian manusia bermula dari setitik air mani hingga kepada proses kelahiran bayi, hendaklah disampaikan dan dijelaskan kepada anak dengan sebaiknya untuk membuktikan kekuasaan Allah.

Akhirnya, apabila anak muda sudah mencapai umur kematangan yang melayakkan mereka untuk membawa haluan hidup masing-masing, sudah sampai masanya ibu bapa menerangkan mengenai etika hidup bersuami isteri dan berkeluarga secara Islam.

Mudah-mudahan mereka dapat membina sebuah mahligai rumah tangga bahagia yang berada di bawah keredaan Ilahi.

Banyak hukum titik berat pendidikan seks
ISLAM adalah agama yang cukup indah dan lengkap dalam setiap aspek kehidupan manusia sejagat. Antara persoalan yang turut disentuh Islam dalam kehidupan umat manusia ialah persoalan seks.
Apabila berbicara mengenai seks, kebanyakan orang akan menganggapnya sebagai perkara sensitif yang tidak boleh dibincang secara terbuka, sedangkan Islam menganjurkan umatnya agar bertanya segala masalah agama kepada orang alim.
Pengabaian persoalan seks juga dikatakan antara faktor yang menyumbang kepada berleluasanya kemelut sosial yang semakin meruncing di kalangan remaja dewasa ini.
Justeru, pendidikan seks perlu diberi perhatian serius oleh ibu bapa secara khusus ketika mendidik anak-anak mereka agar menjadi insan yang bertakwa kepada Allah.
Islam tidak ketinggalan menyediakan garis panduan kepada umat manusia agar mendidik nafsu syahwat mereka selaras dengan nilai agama hingga berubah menjadi nafsu yang dirahmati dan diredai Allah.
Menurut perspektif Islam, pendidikan seks adalah sebahagian daripada pendidikan akhlak yang didasari asas iman.

Konsep awal daripada pendidikan seks dalam Islam ini dimulai dengan pengertian aurat iaitu bahagian tubuh yang wajib ditutup, tidak boleh diperlihatkan dan kita pun tidak boleh melihat aurat orang lain. Bagi lelaki, auratnya antara pusat hingga ke paras lutut, manakala aurat wanita pula ialah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan dua tapak tangannya.
Dalam hal ini, tidak ada sebarang kelonggaran atau keuzuran bagi seseorang untuk mendedahkan auratnya kepada orang lain kecuali untuk tujuan perubatan dan sebab yang dibenarkan syarak.
Amat mendukacitakan terdapat sebilangan umat Islam yang sanggup mendedahkan aurat mereka dengan alasan untuk mencari rezeki atau dengan alasan kebebasan atau sebagainya.
Hujah itu datang daripada seorang yang jahil dan dangkal ilmu Islamnya kerana Islam tidak menghalalkan matlamat mencari rezeki sebagai perbuatan baik jika caranya salah.

Seterusnya, Islam juga memerintahkan ibu bapa memisahkan tempat tidur anak apabila sampai masa dengan menyediakan bilik khusus untuk anak lelaki dan perempuan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Suruhlah anak kamu menunaikan solat apabila berusia tujuh tahun dan pukul mereka apabila berusia sepuluh tahun (jika masih belum menunaikan solat) serta asingkan tempat tidur mereka. (Riwayat Tirmizi dan Abu Daud)
Selain itu, anak sewajarnya dijelaskan berkenaan adab kesopanan di dalam rumah dan juga di luar rumah.
Ibu bapa hendaklah mendidik anak sejak kecil mengenai adab meminta izin dalam rumah tangga iaitu meminta izin untuk masuk ke bilik ibu bapanya. Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya: “Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umurnya) meminta izin. (Surah al-Nur, ayat 59)
Seterusnya, pendidikan seks juga bererti mendidik anak dan orang dewasa agar sentiasa menjaga pandangan mata termasuk seseorang Muslim dilarang memandang benda haram seperti menonton filem lucah, membaca bahan lucah dan melihat gambar seks.
Malahan, lelaki wajib menundukkan pandangannya apabila melihat perempuan seperti yang dinyatakan Allah dalam surah al-Nur, ayat 30 yang bermaksud:
“(Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka.
Sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang mereka kerjakan.
Perintah menundukkan pandangan mata bukan hanya kepada lelaki, bahkan perempuan juga turut sama diwajibkan menundukkan pandangan mereka di samping memelihara aurat dan kehormatan.
Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mata mereka (daripada memandang yang haram), memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. (Surah al-Nur, ayat 31)
Di samping itu, anak hendaklah diajar agar tidak bergaul bebas antara lelaki dan perempuan serta tidak berdua-duaan dengan bukan mahram.
Huraian al-Quran dan juga penjelasan hadis Rasulullah berkaitan proses kejadian manusia bermula dari setitik air mani hingga kepada proses kelahiran bayi, hendaklah disampaikan dan dijelaskan kepada anak dengan sebaiknya untuk membuktikan kekuasaan Allah.
Akhirnya, apabila anak muda sudah mencapai umur kematangan yang melayakkan mereka untuk membawa haluan hidup masing-masing, sudah sampai masanya ibu bapa menerangkan mengenai etika hidup bersuami isteri dan berkeluarga secara Islam.
Mudah-mudahan mereka dapat membina sebuah mahligai rumah tangga bahagia yang berada di bawah keredaan Ilahi.

INFO
Asas pendidikan seks dalam Islam

  1. Mempunyai status dalam pertalian kekeluargaan iaitu muhrim dan bukan muhrim
  2. Mewajibkan wanita menutup aurat untuk mengelak membangkitkan keghairahan lelaki
  3. Mengasingkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan
  4. Mengelakkan anak tidur bersama ibu bapa pada peringkat usia tertentu
  5. Melarang melihat benda haram seperti membaca buku dan menonton filem lucah
  6. Mempunyai adab dan peraturan dalam hubungan seks suami isteri

Adab meludah ketika solat

DARIPADA Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW melihat kahak di kiblat masjid. Lalu Baginda menghadap kepada orang ramai lalu bersabda:

“Bagaimana pendapat kamu semua jika seseorang sedang solat menghadap Tuhannya, lalu dia meludah ke hadapan? Senangkah kamu jika kamu sedang dihadapi seseorang, tiba-tiba orang itu meludahi mukamu? Kerana itu jika kamu meludah ketika solat, maka ludahlah ke kiri atau ke bawah kakimu. Jika itu tidak mungkin, ludahlah ke sapu tanganmu.” (Hadis riwayat Muslim)

Eropah kearah ISLAM...

Umat Islam bertambah di Eropah

WASHINGTON: Semakin ramai masyarakat Eropah memeluk Islam kerana percaya ia satu-satunya jalan memperoleh ketenangan sejati dan sebagai reaksi kepada ketidaktentuan moral masyarakat Barat, kata penyelidik Islam dan bukan Islam kepada akhbar terkemuka Amerika Syarikat.

Walaupun tiada perangkaan tepat, pemerhati menganggarkan beribu-ribu lelaki dan wanita Barat memeluk Islam setiap tahun, lapor The Christian Science Monitor (CSM).

Salah seorang daripada mereka ialah Mary Fallot yang memeluk Islam tiga tahun lalu selepas menanyakan soalan rohani kepada dirinya sendiri dan tidak menemui jawapan dalam agama anutannya sebelum itu, Kristian.

“Bagi saya, Islam ialah mesej mengenai kasih sayang, tolak ansur dan keamanan,” katanya.

Akhbar berkenaan memetik pakar sebagai berkata, penyelidikan juga menunjukkan lebih ramai wanita yang memeluk Islam berbanding lelaki.

Bagaimanapun, bertentangan dengan anggapan biasa, sebilangan kecil saja menukar agama bagi membolehkan mereka mengahwini lelaki Islam. – Agensi

“Dulu ia memang begitu tetapi kini ramai wanita Barat memeluk Islam dengan kerelaan hati,” kata Dr Haifa Jawad, pensyarah di Universiti Birmingham di Britain.

Fallot turut ketawa ketika ditanya sama ada kehidupan cintanya ada kaitan dengan keputusan besar yang diambil untuk menukar agama.

“Apabila saya memberitahu rakan sekerja yang saya sudah memeluk Islam, reaksi pertama mereka ialah bertanya sama ada saya mempunyai teman lelaki Islam. Mereka tidak percaya saya memeluk Islam dengan kerelaan hati,” katanya.

Malah, katanya, dia menyukai cara ‘Islam menghendaki umatnya sentiasa berhubungan dengan Allah.’

Penyelidik yang mengkaji punca wanita Belanda memeluk Islam, Karin van Nieuwkerk, menegaskan wanita tertarik dengan ‘idea tertentu kewanitaan dan kelelakian dalam Islam.

“Terdapat lebih banyak ruang untuk keluarga dan peranan dalam Islam dan wanita tidak dianggap sebagai objek seks,” katanya.

Pada masa sama, kata Sarah Joseph, mualaf Inggeris yang mengasaskan majalah gaya hidup Islam, ‘Emel’, berkata ‘wanita yang memeluk Islam mencari gaya hidup lebih baik daripada gaya feminisme berlebihan Barat yang tidak selalunya tepat.’ —Agensi

Petikan: BErita Harian 29 Disember 2005

Thursday, November 17, 2005

Antara Melayu dan Cina

Islam : Antara Melayu dan Cina July 13, 2005

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (moasriza@yahoo.com)

Kadang kala penggunaan istilah yang salah boleh membawa kesan yang sangat buruk kepada kefahaman orang lain terhadap sesuatu perkara. Lebih malang lagi jika ianya membabitkan kefahaman orang terhadap agama. Dalam pemerhatian saya, antara fahaman yang buruk yang membabitkan agama ialah menjadikan melayu nama ganti kepada Islam, dan cina sebagai ganti kepada kafir. Maka ada orang melayu yang menyatakan kepada orang yang baru menganut Islam "masuk melayu", atau kadang kala mereka sebut "bukan Islam, cina!!". Seakan-akan bagi mereka cina mewakili kafir, melayu mewakili Islam. Sehingga lebih buruk lagi apabila mereka melebel sepanjang hayat seorang bukan muslim yang berbangsa cina jika menganut Islam sebagai muallaf, lebih buruk dalam loghat utara 'mat loh'.

Seakan-akan hanya melayu sahaja yang dapat jadi muslim sejati, adapun seorang cina walau macamana kuat pun Islamnya, dia tetap dianggap sebagai menumpang atau 'tidak asli'. Padahal banyak orang cina yang menganut Islam dan keislaman mereka begitu baik, dan berapa banyak pula orang melayu yang lahir dalam keluarga muslim, namun keislaman mereka harus dan wajar dipertikaikan.

Kain pelikat, baju melayu dan sampin bukan pakaian Nabi s.a.w. Namun orang melayu menganggap ianya pakaian berunsur agama, kerana ianya budaya melayu. Ya! Islam juga tidak menghalang budaya yang tidak menyanggahi nas-nasnya. Namun seketika dahulu orang melayu menganggap salah jika makan dengan 'chopstick', kerana ianya menyamai budaya orang cina. Walaupun tiada beza antara makan dengan chopstick dengan makan menggunakan sudu dan garpu Inggeris. Apa yang Nabi s.a.w. suruh ialah menyebut nama Allah, menggunakan tangan kanan dan makan bahagian yang sudah diperuntukkan, atau yang hampir. Ini seperti sabda Nabi s.a.w kepada 'Umar bin Abi Salamah waktu dia hendak makan, ketika itu dia masih kecil:

"Wahai budak! Sebutlah nama Allah, makan dengan tangan kananmu dan makan apa yang dekat denganmu".[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Orang melayu akan suruh orang cina yang menganut Islam menukar nama mereka, lalu diganti dengan nama arab. Seakan nama seperti Ah Chong, Ah Seng, Lim, Koh, mewakili kekufuran. Mungkin kerana tidak berbunyi arab, lalu orang melayu rasa janggal. Malangnya orang melayu tidak merasa janggal dengan nama Awang, Leman, Seman dan yang seumpamanya yang semuanya bukan bahasa arab. Bahkan banyak nama melayu yang tidak ada makna pun dalam bahasa arab. Lebih daripada itu, ada yang maknanya buruk jika diterjemahkan ke dalam dalam bahasa arab. Pun tidak mengapa kerana itu nama-nama pilihan melayu. Apakah melayu itu Islam, Islam itu melayu? Nabi s.a.w sendiri tidak menyuruh mereka yang menganut Islam pada zaman baginda mengubah nama, melainkan nama-nama yang membawa makna yang tidak baik. Nama 'Umar itu sejak zaman jahiliyyah lagi dan itulah namanya apabila dia menganut Islam. Demikian juga kebanyakan para sahabah yang lain. Saya tidak membantah orang cina yang ingin mengubah nama. Apatah lagi jika dengan mengubah nama itu menjadikan mereka kelihatan hampir dengan masyarakat Islam di seluruh peringkat. Namun mereka mesti diberi pilihan. Jika mengubah nama menjadikan orang cina yang non-muslim takut untuk menganut Islam, seakan terbuang dari keluarganya yang asal dan hilang hubungan kerabat, apa salahnya mereka kekal dengan nama asal? Jika Awang boleh kekal, mengapa Ah Chong tidak?

Anggapan yang men'seiras'kan Islam dengan watak melayu sangat buruk kesannya dalam banyak hal. Apatah lagi apabila watak bangsa melayu sekarang sebahagiannya bertentangan dengan Islam. Sementara banyak watak bangsa cina banyak padanya akhlak dan tabiat yang dipuji oleh Islam. Cumanya kelebihan yang tidak dapat dipertikaikan, ramai orang melayu bariktikad dengan akidah Islam berbanding dengan orang cina di Malaysia ini. Aqidah yang sahih adalah penyelamat utama kehidupan akhirat. Namun tidak boleh dinafikan, ramai melayu yang hanya bernama dengan nama seorang muslim, sedangkan keimanannya kepada Allah dan RasulNya kadang-kala telah lama musnah. Betapa banyak melayu melakukan syirik, mempersendakan hukum-hakam Allah dan sunnah RasulNya. Melayu jenis ini hanya bernama dengan nama muslim, tetapi tidak berada dalam daerah iman, atau dalam kata lain terbatal imannya.

Orang cina pula, disebabkan fonomena sejarah, menjadikan majoriti mereka tidak menganut Islam. Seruan Islam mungkin tidak jelas sampai ke pengetahuan mereka. Ditambah lagi orang melayu yang menganut Islam ini tidak menyampaikan dakwah yang jelas. Sebaliknya dalam banyak hal mempertontonkan kepada mereka watak-watak yang menyanggahi Islam. Orang melayu boleh berbincang bermacam-macam perkara dengan orang cina, termasuk mengajak undi parti pilihan mereka. Namun mereka tidak mampu membincangkan mengenai kehebatan Islam, dan mengajak orang cina menganut agama pilihan mereka. Bahkan sikap-sikap melayu yang banyak tidak seiras dengan Islam telah menjadikan sebahagian besar orang cina salah faham terhadap Islam, atau merasa jelek untuk menganut Islam.

Sifat 'tidak rajin', kurang berusaha, berdendam kesumat dan seumpamanya adalah sifat-sifat yang diperangi oleh Islam. Malangnya, banyak sifat-sifat ini terlihat pada diri masyarakat melayu. Ramai pelajar melayu yang lemah serta ketinggalan dalam pelajaran dan ilmu pengetahuan. Jika mereka bersaing dengan pelajar cina, samada di sekolah atau universiti, dalam banyak keadaan pelajar melayu kecundang. Hinggakan dalam persoalan ilmu-ilmu Islam, orang melayu tidak berminat dengan ilmu Islam yang tulen. Mereka lebih minat cerita-cerita Israiliyyat, cerita dongeng, petua-petua yang tidak bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Mereka lebih suka maklumat yang diperolehi secara mudah tanpa fikir dan kaji. Perpustakaan-perpustakaan awam dan buku-buku, nisbah orang melayu yang mengguna dan membaca masih lagi nipis. Lebih buruk lagi, dalam masa pelajar-pelajar cina berusaha dalam pelajaran mereka, pelajar-pelajar melayu ramai pula yang cuai. Namun begitu apabila hampir kepada tarikh peperiksaan sesetengah ibubapa melayu akan mencari kismis jampi atau air jampi ustaz untuk menghasilkan keputusan yang cemerlangan. Hasilnya, apabila keputusan peperiksaan keluar, pelajar yang berusaha tentu lebih cemerlang daripada yang hanya bergantung dengan air atau kismis jampi. Kalau orang cina yang belum Islam tersalah faham tentang Islam dengan menganggap perbuatan pelajar melayu yang bergantung dengan air yang dianggapnya agama Islam, lalu mendapat keputusan yang kurang baik daripadanya, tentu dia menolak Islam.

Islam tidak mengajar hanya berjampi untuk menjadi cerdik. Dalam hadith ada beberapa orang sahabah yang dido'akan oleh Nabi s.a.w. agar diberikan ilmu dan kepandaian. Antaranya tokoh sahabah yang masih muda Ibn 'Abbas r.a.huma yang baginda doakan untuknya :

"Ya Allah! Ajarkanlah dia al-Kitab (al-Quran). [Riwayat al-Bukhari]

Ibn 'Abbas benar-benar muncul sebagai tokoh ilmu pengetahuan, penafsir al-Quran dan sahabi yang alim yang menjadi rujukan umat. Namun Ibn 'Abbas bukanlah seorang yang hanya menunggu hasilnya doa baginda datang bergolek, sebaliknya sejarah mencatatkan kesungguhan beliau dalam berusaha memperolehi ilmu. Selain daripada berkesempatan mengambil ilmu secara langsung daripada baginda s.a.w selama tiga puluh bulan. Kemudian baginda wafat ketika umur Ibn 'Abbas tiga belas tahun. Beliau terus mengambil hadith daripada para sahabah seperti 'Umar ibn Khattab, 'Ali, Mu'az, bapanya sendiri iaitu 'Abbas, 'Abd al-Rahman bin 'Auf, Abu Sufyan, Abu Zar, Ubai bin Ka'b, Zaid bin Thabit dan lain. Berguru al-Quran dengan Ubai bin Ka'b dan Zaid bin Thabit [1].

Ertinya terlaksananya kehendak Allah dengan peraturan yang Allah tentukan untuk alam ini, iaitu sebab musabab. Ilmu datang dengan usaha dan kesungguhan. Para ulama seperti al-Imam al-Bukhari (wafat 256H), al-Imam al-Syafi'e (wafat 204H), Ibn Taimiyyah (wafat 728H) dan seumpama mereka mereka menjadi jaguh ilmu setelah bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Ditanya al-Imam al-Syafi'i. Dalam Tawali al-Ta'nis bi Ma'ali Muhammad bin Idris karangan Ibn Hajar al-Asqalani (wafat 852H); kata Ibn Abi Hatim: "Aku mendengar al-Muzani (murid besar al-Imam al-Syafi'e) berkata: "Ditanya kepada al-Syafi'e: Bagaimana perasaan inginanmu terhadap ilmu? Jawabnya: "Apabila aku mendengar satu perkataan yang belum pernah aku dengar, maka seluruh anggota inginkan jika mereka memiliki pendengaran agar dapat menikamati apa yang dinikmati oleh kedua telinga". Bagaimana halobamu terhadap ilmu? Jawabnya: "Seperti haloba pengumpul harta yang begitu menjaganya dalam mencapai kelazatan hartanya". Bagaimana keadaan engkau mencari ilmu? Jawabnya : "Seperti pencarian seorang wanita yang kehilangan anak tunggal".

Demikianlah juga Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang disebut oleh muridnya al-Imam Ibn al-Qayyim (wafat 751H) bahawa karangan gurunya mencapai 350 buku. Beliau dikatakan sentiasa mendampingi ilmu. Hidupnya dengan ilmu. Dalam Raudah al-Muhibbin Ibn al-Qayyim menyebut: "Syeikh kami (Ibn Taimiyyah) menceritakan kepadaku: "Apabila aku sakit, tabib menyatakan kepadaku : "Sesungguhnya mentelaahmu dan cakapmu dalam ilmu pengetahuan menambahkan sakitku". Jawabku: "Sesungguhnya aku tidak sabar untuk itu. Aku ingin menilai pandanganmu dengan ilmu perubatanmu; tidakkah jiwa apabila ia gembira dan suka maka tabiatnya menjadi kuat dan menolak penyakit?". Jawab dia: "Ya". Aku berkata: "Sesungguhnya diriku bergembira dengan ilmu, maka tabiatnya menjadi kuat, lalu aku mendapati kerehatan".

Demikianlah para ulama yang cemerlang. Mereka tidak bergantung kepada air jampi atau pensel dan pemadam jampi sebelum memasuki peperiksaan. Juga tidak air surah Yasin yang masyarakat melayu sering meminum airnya dengan melupakan kandungan ayatnya. Generasi lalu cemerlang kerana mementingkan ilmu dan ikhlas kepada Allah dalam menuntutnya. Bukan hanya mementingkan sijil. Sikap mereka yang ikhlas terhadap ilmu dan berusaha agar benar-benar cemerlang dalam bidang yang diceburi membawa Islam gemilang dan terbina tamadun ilmunya.

Ramai anak melayu yang hanya mementingkan sijil tetapi tidak kualiti ilmunya. Akhirnya ramai yang mendapat sijil, namun tidak tertonjol kualitinya. Maka lahirlah golongan yang tiada sijil dan ada ilmu, dalam masa yang sama yang lebih malu ialah golongan yang ada sijil, tiada ilmu. Ini kerana mungkin mereka membaca sekadar untuk menjawab peperiksaan, apabila tamat peperiksaan ilmu pun hilang. Kalaulah air jampi benar-benar berfungsi tanpa perlukan kesungguhan ilmu tetapi akan betul dalam peperiksaan, maka itu tentu akan melahirkan lebih ramai pelajar lulus atau berjaya tanpa ilmu.

Kita kadang-kala patut memuji masyarakat cina. Ada anak-anak orang cina yang tidak tinggi persekolahan mereka, tetapi mempelajari sesuatu bidang dengan tekun sekali tanpa sijil. Mereka samada mewarisi ilmu ibubapa mereka, atau membelajarinya secara praktikal daripada orang lain. Maka ramai mekanik cina yang sijilnya tidak tinggi tetapi maju. Demikian juga kebanyakan taukeh-taukeh besar cina yang pakar dalam berbagai-bagai bidang peniagaan sekalipun tanpa sijil rasmi. Mereka terus mencari peningkatan. Tabiat kesungguhan ini adalah sesuatu yang disukai oleh agama. Agama menggalakkan agar kita sentiasa bergantung kepada Allah dan menambah ilmu. Firman Allah (maksudnya):

"Katakanlah: Wahai tuhan! Tambahkan daku ilmu". [Surah Taha:113]

Walaupun ustaz Melayu dan orang Melayu selalu membaca hadith palsu "Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China" [2]. Orang Cina tidak membaca hadith palsu ini, namun mereka bertungkus-lumus menuntut ilmu. Budaya membaca di kalangan orang Cina lebih kuat daripada orang Melayu.

Islam agama yang hebat. Agama yang mengajar penganutnya amanah, dan tepat janji. Kalau seorang berniaga dia amanah dan tepat. Islam pentingkan kebersihan sehingga mensyaratkan kesucian dan kebersihan di dalam solat seorang muslim. Diharamkan perkara yang keji atau jelik. Diharamkan mendatangi isteri ketika haid. Diharamkan bangkai dan kekotoran. Ini semua membimbing seorang hidup Muslim. Lihat firman-firman berikut.

Firman Allah dalam menggambarkan ciri-ciri mukmin sejati (maksudnya):

"Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya" [Surah al-Mu'minun:8]

Firman Allah tentang mengharamkan perkara-perkara yang jelik (maksudnya):

"Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya. [Surah al-'Araf :157]

Sabda RasululLah s.a.w:

"Jauhilah neraka walaupun dengan (bersedekah) setengah biji tamar. Jika kamu tidak dapati, maka dengan perkataan yang baik". [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Dalam perniagaan jika ruh dan semangat ini dibawa bersama, tentu orang melayu yang beragama Islam akan maju. Kedai atau perniagaannya tentunya bersih, barangannya terjamin halal, janjinya tepat, dan penampilannya di hadapan pelanggan memuaskan hati. Ini membawa keberkatan dan sekaligus dengan izin Allah kemajuan dalam perniagaannya. Malangnya, ramai melayu yang tidak mengambil ruh Islam dalam usahanya, sebaliknya ada yang percayakan kemunduran perniagaannya hanya kerana "buatan orang" atau "angkara dibomohkan". Saya tidak menolak wujudnya sihirnya. Al-Quran dan al-Sunnah mengakui kewujudannya dengan izin Allah. Namun setiap kali seseorang itu tidak laris atau bermasalah, dikaitkan dengan sihir yang sebahagian besarnya adalah dogengan bomoh, lalu dituduh orang itu dan ini. Beratus, mungkin beribu ringgit pulak terpaksa dibelanjakan untuk menaja jampi penangkis daripada bomoh-bomoh yang dianggap handal. Saya pernah ke sebuah kedai makan, lalu dia mengadu kepada saya bahawa kedainya kena sihir sehingga tidak laku. Saya secara kebetulan, alhamdulillah - mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan mengenai sihir dan cara mengatasinya, mendapati tiada kesan-kesan boleh diangggap begitu. Sebaliknya, apa yang saya dapati, pengurusannya lembab, kurang bersih dan makanannya tidak enak. Dia melupakan ini semua lalu menuding jari ke pihak lain. Kalau benar ada bomoh yang hebat sehingga membangkrapkan peniagaan orang lain, suruh sahaja dia membangkrap barangan Amerika, tidak susah-susah kita nak boikot.

Bagaimana mungkin dalam keadaan seperti ini orang melayu ingin membawa Islam kepada orang cina yang belum muslim dan menceritakan Islam telah membentuk insan menjadi berkualiti. Sebaliknya, ramai peniaga cina jika dibandingkan dengan peniaga melayu lebih berkualiti pengurusannya dan menampilkan ciri-ciri yang boleh dibangga oleh pelanggan. Sehingga ramai orang melayu sendiri lebih percaya dalam banyak perkara kepada kualiti peniaga cina daripada bangsanya sendiri. Di mana 'Abd al-Rahman bin 'Auf , sahabi yang selalu dicanangkan sebagai contoh kepada umat Islam dalam perniagaan? Mungkin orang cina yang majoritinya bukan muslim lebih menghayati watak tersebut daripada melayu.

Kebelakangan ini sudah agak ramai orang Melayu yang terlibat dengan perniagaan dan menghasilkan keluaran sendiri. Namun jika kita perhatikan ianya masih dalam lingkungan yang sama. Kebanyakannya keluaran orang melayu masih berkaitan dengan ubat. Paling tidak dilupai ubat tenaga batin. Ada yang jual kismis jampi, kononnya dengan memakan akan jadi jadi cerdik dan bijak. Sebenarnya tiada satu hadith yang sahih pun yang menyebut demikian. Namun apa yang saya bimbang, orang akan menganggap orang melayu kebelakangan ini penuh dengan berbagai penyakit badan dan kelemahan akal. Dimanakah tanggungjawab fardu kifayah untuk memenuhi umat jika perniagaan kita masih sekitar "tenaga batin"?

Dalam ceramah agama, ada ramai juga ustaz-ustaz melayu masih lagi bermodalkan cerita dongeng dan kartun. Di samping riwayat Israiliyyat dan hadith-hadith palsu yang dibaca di dalam masjid dan surau, mereka menokok tambah kejadian-kejadian pelik untuk menarik perhatian pendengar. Cerita mayat jadi itu dan ini menjadi modal murahan. Dengan tidak dinafikan Allah mampu melakukan segala-galanya, namun sejarah menunjukkan Allah tidak bertindak kepada umat NabiNya yang akhir seperti mana kepada umat yang sebelumnya. Kalau Allah mahu, tentu mayat Abu Jahal, atau Abu Lahab terlebih dahulu akan menjadi contoh. Kedua-dua tokoh kekufuran itu, tidak juga mati terkejut, atau kerana penyakit misteri disebabkan kejahatan mereka. Sebaliknya kaum musliminlah yang berjihad dan menghapuskan keduanya di medan pertempuran. Islam meminta usaha, bukan menunggu tindakan Allah tanpa usaha. Firman Allah mengenai cabaran musyrikin terhadap Nabi s.a.w (maksudnya):

Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan bagi kami matair dari bumi. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau engkau gugurkan langit berkeping-keping ke atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya. Katakanlah (wahai Muhammad): "Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?". Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: "Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?" [Surah al-Isra' : 90-94]

Demikian baginda s.a.w sendiri mampu membuat apa yang dicabar tanpa keizinan Allah. Mereka meminta langit berkeping-keping turun ke atas kepada mereka, namun menjawab "Aku hanya seorang insan yang diutuskan menjadi rasul". Allah s.w.t Yang Maha Bijaksana tidak pula memusnahkan kaum musyrikin dengan apa yang mereka minta, sebaliknya dijadikan kemusnahan mereka melalui sebab perjuangan golongan yang beriman. Apa yang pelik sesetengah ustaz atau penceramah agama itu membawa cerita yang jauh berbeza dengan tabiat sirah Nabi dan para sahabah. Kononya orang ini mayatnya jadi begini kerana tidak datang masjid, atau kerana terlalu kedekut dan seumpamanya. Yang ini pula tangannya lumpuh, atau berpenyakit badan kerana tidak mahu pergi haji. Mereka mengandaikan perkara yang tidak pasti. Boleh jadi seseorang yang sakit itu kifarah Allah ke atasnya kerana dosa tertentu. Namun boleh jadi juga di atas hikmah yang lain. Ramai orang salih juga sakit. Adapun cerita mayat jadi itu dan ini, kebanyakan andaian atau tokok tambah. Apa yang membimbangkan, ada media massa yang mengambil kesempatan lalu menjadikan tajuk-tajuk sebegini sebagai penarik pembaca setiap keluarannya. Sehingga seorang cina yang bukan muslim membaca dan berkata: "Teruknya orang melayu, mati macam-macam jadi. Kita orang cina melayu cakap kafir pun tak jadi ini macam. Kalau macam ini tak boleh masuk melayu punya agama laa. Bahaya! Nanti tuhan selalu marah punya, mati pun tak boleh senang".

Nyata, kadang-kala Islam melayu merosakkan kefahaman orang lain. Sepatutnya kesemua ustaz mengajar secara ilmiah dengan rujukan kitab-kitab muktabar. Bukan merekacipta, atau mengutip cerita-cerita di jalanan untuk popular.

Jumlah orang Melayu yang terlibat dengan dadah jauh lebih banyak daripada cina. Sehingga saya begitu pelik, jumlah orang Melayu di Singapura lebih sedikit daripada orang cina, namun begitu, jumlah mereka yang terlibat dengan 'benda haram' itu tetap dipegang rekodnya oleh orang melayu. Bagaimana Islam hendak dikembangkan?

Banyak lagi kalau hendak diperkatakan. Sehinggakan saya terfikir, kalaulah melayu tidak memiliki aqidah Islam, tiada apa lagi yang istimewa untuk dibanggakan. Kalau orang cina mendapat aqidah Islam yang sahih, banyak perkara yang mereka miliki membantu kekuatan Islam. Justeru itu menjadi tanggungjawab kita berusaha mengislamkan majoriti orang cina. Biar mereka kuasai negara ini, asalkan mereka mukmin yang beriman kepada seluruh ajaran Islam.

Dengan sedar saya katakan setiap bangsa ada kekurangan dan kelebihan. Bukan tidak ada sifat-sifat melayu yang baik, banyak juga. Bukan tidak ada sifat-sifat cina yang buruk, ada. Namun orang melayu yang kebanyakan dianugerahkan Allah Islam, sepatutnya menonjolkan ciri-ciri yang baik lebih jelas dan nampak dibandingkan orang cina. Namun realiti menunjukkan sebaliknya.

Nota Kaki:

[1] Lihat: al-Zahabi, Siyar 'Alam al-Nubala', 3/332-337, cetakan: Maktabah al-Risalah, Beirut.

[2] Ini hadith yang palsu seperti yang disebut oleh para ulama. Lihat: Al-Jarrahi, Kasyf al-Khafa' 1/138, cetakan Dar Ihya al-Turath al-'Arabi, Beirut; Nasir al-Din al-Albani, Silsilah ad-Dha'ifah wa Al-Maudu'ah, 1/600, cetakan: Maktabah al-Ma'arif, Riyadh

Thursday, October 20, 2005

Ada Otak Pakai, Ada Mulut Diam.............!!!

Terima e-mail dari Sulaiman Sirad. 
Mana dia dapat info ni?
Dah macam Nujum Pak Belalang pulak.
Meramal berlakunya hari kiamat.


If this is true, memang scary
a) Mengikut hadith umat Rasulullah akan hidup selama 1500 tahun...sekarang sudah 1439 = 1426 + 13 tahun hijrah... daripada ini kita ketahui kita akan bertahan dalam masa 61 tahun lagi.. Jikalau ini benar, bumi akan kiamat pada tahun 2066.

b) Saintis telah menjumpai sebuah planet yang lebih kecil daripada bumi yang menghala ke bumi.. Ia telah dianggarkan bahawa planet itu akan melanggar bumi pada tahun 2014. Amerika akan cuba untuk menukarkan orbitnya dengan menembaknya dengan sebuah roket... Dan saintis juga telah menjumpai sebuah planet yang juga akan menghentam bumi... Ia dianggarkan akan melanggar bumi dalam masa 60 tahun lagi.. Dan planet ini lebih besar daripada bumi... Jikalau ini benar, dunia akan musnah pada tahun 2065....

c) Dan dikatakan kuasa Israel akan mencapai puncaknya pada tahun 2007...
Dan kuasanya akan jatuh semula dalam 14 tahun, iaitu tahun 2022, disebabkan oleh penurunan semula Nabi Isa... . Dan hadith mengatakan bahawa Nabi Isa hanya akan hidup selama 40 tahun dan dunia akan kiamat pada hari Nabi Isa wafat.. Jikalau ini benar dunia akan kiamat pada tahun 2062... .

Dianggarkan Bumi Akan Kiamat Antara Tahun 2062-2066... .
Wallahu'alam...

Semua ini telah dikaji... Dan yang dipercayai paling tepat ialah hadith yang mengatakan bahawa umat Rasulullah akan bertahan selama 1500 tahun...
Kita telah berada di bumi ini selama 1439 tahun... Cubalah anda kirakan sendiri...

DNA?

National Geographic kupas misteri DNA

DARI manakah asal usul manusia? Adakah bukti genetik menunjukkan bahawa lelaki datang daripada moyang yang sama? Mungkinkah Bono dikaitkan dengan Nelson Mandela? Atau Tiger Woods dan David Beckham mahu pun Osama Bin Laden dan Dalai Lama? Jika mereka benar-benar wujud, di manakah mereka tinggal dan bagaimanakah rupa mereka?

Pada 22 Oktober ini jam 9 malam, National Geographic akan menayangkan DNA Mystery: The Search for Adam yang menggabungkan beberapa saintis terkenal untuk menjejaki DNA manusia terdahulu bagi mencari persoalan yang tidak terjawab sekian lama. Adakah Adam benar-benar wujud, dan adakah manusia dulu kala mempunyai hubung kait dengan manusia zaman ini? Projek ini dijalankan bagi mencari penyelesaian mengenai kewujudan Adam yang dikatakan bapa kepada semua manusia.

Tiga agama utama dunia Islam, Kristian dan Buddha mempercayai Adam adalah satu-satunya insan yang mula-mula wujud di dunia ini dan sejak itu barulah manusia tercipta.

Program ini turut memaparkan kajian yang dilakukan Spencer Wells terhadap kewujudan genetik ini untuk membuktikan kewujudan Adam. Wells menggunakan kaedah ujian DNA yang terbaru dan membawa penonton menjelajahi keunikan kejadian manusia itu melalui kajian intensif yang dilakukan di seluruh dunia. Wells juga berjaya mengesan kewujudan salasilah keluarga.

“Kromosom Y berkait antara lelaki dulu dan lelaki sekarang. Menerusi DNA yang sungguh kecil kita mampu mengembara kembali ke dunia dulu mencari sejarah manusia, dengan menggunakan DNA dapat menghubungkan berbilion lelaki yang dikatakan berkait dengan satu individu. Kromosom Y juga dapat mengesan kejadian lelaki daripada seluruh dunia,” katanya.

Mengesan sejarah DNA milik ikon sejarawan Thomas Jefferson projek ini berjaya mencapai keputusan yang agak mengejutkan. Kromosom Y milik Jeffersons bukan saja dapat di kesan di Eropah tetapi di negara Timur Tengah iaitu Lebanon dan Syria.

Rupa paras tidak dapat memberitahu dari mana asal usul manusia, ia menjadi satu tanda tanya yang besar setelah melihat imej tradisional Adam.

Penonton yang mengikuti penjelajahan Wells dari tengah Asia hingga ke Afrika Selatan dan Siberia, dapat melihat kajian yang di jumpanya. Wells percaya Adam wujud sekitar 60,000 tahun dulu di Afrika.

Penonton juga berpeluang melihat wajah Adam menerusi teknik komputer.

“Kita semua sebenarnya adalah bersaudara. DNA kita membawa cerita bagaimana kita berhijrah keluar daripada Afrika. Dalam masa lima tahun semua persoalan ini akan terjawab,” katanya lagi.

BH 20.10.2005