Usrah

...pesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran...

Google

Tuesday, February 14, 2006

Takaful

Insurans pendidikan kini pilihan ibu bapa

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KEBANYAKAN ibu bapa sekarang mulai sedar kepentingan mendapatkan perlindungan untuk anak-anak terutama dari aspek pendidikan. Bagi pasangan suami isteri Sharifuddin Baharudin, 34, dan Ku Marziahani Ku Mansor, 32, yang mempunyai dua cahaya mata, Nur Zulaikha, 7, dan Aimanuddin, 6, hampir setiap bulan mereka merancang kewangan dengan teratur bagi memastikan perbelanjaan tidak melebihi pendapatan.

“Kami buat akaun berapa duit yang masuk, keluar, perbelanjaan harian, simpanan, anak-anak dan untuk masa kecemasan. Lebih kurang macam kunci kira-kira,” ujar Sharifuddin.

Walaupun mempunyai dua orang anak, pasangan ini membuat perancangan awal untuk perbelanjaan pendidikan mereka pada masa depan supaya tidak timbul sebarang masalah apabila melanjutkan pelajaran ke universiti yang memerlukan kos yang agak tinggi.

Ku Marziahani yang lebih mesra dengan panggilan Kak Ani berpendapat, insurans merupakan satu bentuk tabungan yang menyediakan banyak kemudahan terutama dari segi perlindungan. Menyimpan dengan insurans juga dapat membentuk disiplin diri kerana kita terpaksa menyimpannya setiap bulan dan tidak boleh dikeluarkan sesuka hati.

“Kalau tidak bayar dalam empat bulan, contohnya, kemungkinan besar kita tak dapat perlindungan sekiranya sesuatu terjadi. Simpanan insurans lebih baik berbanding di bank. Sekiranya terjadi sesuatu ke atas pembayar atau penama, insurans akan meneruskan pembayaran setiap bulan sehinggalah polisi itu mencapai tempoh matang,” katanya yang berasal dari Kedah.

Secara tidak langsung ia dapat meringankan beban sekiranya berlaku perkara yang tidak disangka dan dapat melindungi masa depan anak-anak.

Ini kerana pendidikan menjadi agenda penting dalam pembangunan negara bagi melahirkan masyarakat yang berilmu. Namun, masih ada yang tercicir daripada mendapatkan pendidikan tinggi akibat kekurangan sumber kewangan.

Isu-isu tabung pendidikan yang kecoh diperkatakan seperti kegagalan sesetengah pelajar mendapatkan pinjaman dan kelewatan pembayaran yuran serta kos sara hidup di universiti sudah menjadi senario saban tahun setiap kali universiti memulakan semester.

Hakikat yang perlu diperhalusi daripada pelbagai isu yang timbul ialah sejauh manakah ibu bapa mampu merancang kewangan mereka agar anak-anak berupaya mendapat pendidikan sempurna. Untuk itu, tidak timbul soal pinjaman pendidikan yang menjadi polemik di kalangan masyarakat dan pemimpin negara.

Pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan terutama perkembangan sistem kewangan dan perbankan Islam di negara ini memberi banyak kelebihan kepada ibu bapa atau individu untuk menabung sebagai jaminan masa depan.

Pensyarah di Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Joni Tamkin Borhan berkata, kesedaran menabung sudah ada di kalangan masyarakat khususnya orang Islam cuma beberapa usaha perlu dipertingkatkan bagi memastikan konsistensi dapat diteruskan.

“Sebelum negara mencapai kemerdekaan, orang Islam tidak mempunyai tempat yang khusus untuk menyimpan dana sehinggalah Prof. Diraja Ungku Aziz memperkenalkan konsep Tabung Haji yang akhirnya ditubuhkan pada 1969 sebagai kemudahan tabungan untuk mengerjakan fardu haji dan institusi pelaburan bagi orang Islam. Kemudian, ia diperluaskan dengan kemunculan Bank Islam, koperasi dan sistem takaful. Insurans juga sebenarnya merupakan satu bentuk tabungan,” kata beliau.

Semakin hari masyarakat semakin sedar betapa perlunya mempunyai simpanan sebagai bekalan pada masa hadapan sekiranya berlaku tragedi yang tidak diingini atau demi pendidikan anak-anak. Ini terbukti dengan penyertaan masyarakat terhadap institusi tersebut.

Peningkatan perlu ada untuk memperkukuhkan kesedaran masyarakat supaya ia berterusan dan konsisten. Perancangan kewangan yang melibatkan pendapatan isi rumah dengan memberi keutamaan kepada keperluan yang lebih penting kena diberi perhatian.

Penggunaan kad kredit secara boros akan mengundang kemusnahan kepada konsep keluarga sakinah. Oleh itu, ibu bapa perlu mempunyai wawasan yang jauh demi masa depan anak-anak, selepas bersara atau terjadi perkara yang tidak dijangka.

Risiko

Sebenarnya, konsep merancang kewangan dan pengurusan risiko terkandung dalam firman Allah yang bermaksud: “Yusuf berkata: “Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuaikan hendaklah kamu biarkan pada tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sukar, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sukar) kecuali sedikit daripada (biji gandum) yang akan kamu simpan.” (Yusuf: 47 dan 48)

Kata Joni Tamkin, surah tersebut menerangkan keadaan pada zaman mewah, manusia diajar untuk menabung bagi menghadapi zaman kemelesetan ekonomi. Walaupun sudah 1,400 tahun, konsep demikian masih relevan dengan kehidupan masyarakat Islam hari ini.

Bagaimanapun, katanya, di Malaysia, masyarakat masih kurang faham tentang kepentingan insurans terutama kesedaran mengenai perlindungan masa depan anak-anak seperti pendidikan. Banyak pihak perlu memainkan peranan agar keperluan perlindungan pendidikan menjadi satu agenda penting dalam pengurusan kekeluargaan.

“Semasa saya menjadi felo di Victoria University of Wellington, New Zealand, saya dapati terdapat pelajar yang menyambung pelajaran di sana menggunakan dana hasil penyertaan dalam skim-skim insurans tertentu yang diuruskan oleh ibu bapa mereka sejak mereka kecil lagi. Maknanya, ibu bapa itu sedar tentang persediaan masa depan, sama ada pelajaran ataupun menghadapi perkara yang tidak dijangka seperti kemalangan,” ujar beliau mengenai kepentingan menabung demi pendidikan anak-anak.

Islam menyediakan banyak kaedah yang memberikan perlindungan ketika ditimpa musibah terutama sistem takaful yang diperkenalkan lebih 20 tahun lalu. Dari aspek ekonomi, Malaysia baru sahaja menguasai juzuk pelaburan industri perbankan berbanding konvensional.

Sistem takaful memberi kelebihan berbanding konvensional kerana tidak mengandungi unsur gharar, maysir dan riba.

Gharar atau ketiadaan kejelasan dalam akad atau perjanjian kedua-dua insurans nyawa dan am. Dalam perjanjian itu, biasanya pemegang polisi bersetuju membayar sekian banyak caruman dan jika ditimpa bencana, syarikat akan menjelaskan pampasan tetapi sumber wang pampasan diperoleh tidak jelas.

Unsur maysir atau perjudian berlaku khususnya dalam hal insurans nyawa iaitu apabila pemegang polisi meninggal dunia sebelum tamat tempoh perjanjian serta selepas membayar caruman yang dijanjikan dan kemudian diberikan pampasan yang tidak jelas asal usulnya. Syarikat insurans boleh mendapat untung atau rugi disebabkan oleh tuntutan yang seolah-olah bergantung kepada nasib kerana wujudnya unsur gharar.

Riba pula haram dalam Islam kerana membabitkan aktiviti-aktiviti pelaburan syarikat-syarikat insurans berkenaan.

Berdasarkan kepada sejarah, sistem ekonomi Islam sudah lama bertapak di Malaysia sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka dan beberapa peruntukan dalam Undang-undang Melaka yang menolak sebarang perdagangan melibatkan aktiviti riba dan menyarankan penggunaan kaedah mudarabah atau sistem perkongsian untung dan rugi.

Demikian juga dengan sebahagian masyarakat Melayu di Utara Perak, Kedah, Perlis dan Kelantan yang mengamalkan kontrak bay al-wafa iaitu kontrak jual janji dalam transaksi penjualan tanah untuk mendapatkan kredit pembiayaan yang bebas daripada amalan riba dan ia diamalkan sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu. Ini adalah kaedah mereka mendapatkan modal untuk pelaburan penanaman padi tanpa perlu meminjam daripada para pemberi hutang yang berasaskan riba.

“Dalam sejarah tamadun manusia, ekonomi Islam telah bermula sejak kurun ketujuh lagi manakala sistem ekonomi yang dibawa oleh British ke Tanah Melayu diperkenalkan pada kurun ke-18. Hampir 500 tahun kita dijajah dan ia memberi kesan yang cukup besar terhadap sistem ekonomi Islam. Ia menjadikan cara hidup Islam jauh terkebelakang dan tersorok. Apabila negara mencapai kemerdekaan, maka kita berhasrat untuk mengembalikan semula konsep ekonomi Islam,” kata Joni Tamkin menyorot kembali sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

Era Islam Hadhari di negara ini memberi ruang memperluaskan perlaksanaan sistem kewangan dan perbankan Islam. Bahkan, Malaysia merupakan negara Islam yang termaju dalam mempelopori sistem ekonomi Islam berbanding negara serantau dan Asia Barat. Dari segi pasaran modal juga, Malaysia lebih kehadapan.

Dalam erti kata lain, Malaysia menjadi pakar rujuk dalam bidang kewangan Islam bagi Indonesia, Thailand dan Brunei dan di peringkat antarabangsa.

“Kita paling maju dalam perbankan dan kewangan Islam kerana para ulama dan sarjana kita inovatif, kreatif dan dinamik dalam memperkenalkan produk dan mekanisme dalam bidang ini yang tidak ada pada zaman para ulama terdahulu seperti industri perbankan. Prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah fiqh yang ditulis oleh para ulama dahulu menjadi asas kepada pembangunan bidang perbankan dan kewangan Islam di Malaysia. Dari segi produk pula, kita banyak mencipta produk yang boleh diguna pakai oleh orang Islam dan bukan Islam,” ujar beliau.

Mengulas mengenai persaingan antara sistem takaful dengan konvensional, Joni Tamkin yang juga ahli Majlis Penasihat Syariah RHB Islamic Bank berpendapat, ia sebagai persaingan sihat kerana sistem konvensional sudah lama bertapak di Malaysia dan mempunyai modal yang besar.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada sejauh mana keupayaan untuk menarik orang menyertai dalam sistem berkenaan. Promosi melalui iklan, internet, e-dagang dan berdasarkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) boleh membantu memperluaskan maklumat sistem takaful,” jelasnya yang berpendapat penawaran produk yang kompetitif dari sudut perlindungan, manfaat dan pulangan pelaburan dapat menarik lebih ramai penyertaan.

Beliau juga menyifatkan keberanian para ulama mengisytiharkan sistem muamalat bagi memenuhi tuntutan semasa berlandaskan prinsip syariah menjadikan sistem ekonomi Islam tidak jauh ketinggalan.

Takaful

Selain itu, dengan adanya sokongan kerajaan dan peraturan undang-undang dapat memperkukuhkan lagi sistem takaful di negara ini. Peranan yang dimainkan oleh badan penasihat syariah yang berpusat di Bank Negara Malaysia dalam mengawasi transaksi perniagaan berlandaskan prinsip syariah turut memperkasakan sistem perbankan dan kewangan Islam di peringkat global.

Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 2003 merupakan antara pengendali sistem takaful di Malaysia. Menurut Pengurus Bahagian Pematuhan Syariah syarikat insurans itu, Mohd. Zamerey Abdul Razak, Takaful Ikhlas menawarkan dua produk untuk tabungan pendidikan iaitu Ikhlas Saving Takaful dan Ikhlas Education Takaful.

Melalui Ikhlas Education Takaful, peserta mendapat kelebihan dari segi simpanan dan perlindungan khusus untuk tabungan. Individu yang menabung RM200 sebulan dalam jangka masa 15 tahun tidak boleh menjamin tidak akan berlaku sebarang musibah dalam tempoh tersebut? Justeru, pembelian insurans pendidikan memberi kelebihan terhadap tabungan anak-anak dan keluarga jika ditimpa kemalangan atau kematian.

“Selain membangunkan produk untuk pendidikan, kami juga menyediakan anugerah pendidikan bagi peserta yang anak-anaknya mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” jelas beliau mengenai Ikhlas Education Takaful,” jelasnya.

Bagi ibu bapa yang terlewat membuka simpanan pendidikan anak-anak, mereka boleh menyertai Ikhlas Saving Takaful. Contohnya, ada ibu bapa yang baru menyedari bahawa betapa perlunya jaminan kewangan pendidikan ketika anak-anak sudah berumur 12 tahun.

Tambah Mohd. Zamerey, Takaful Ikhlas juga menyediakan produk berkelompok iaitu Skim Takaful Berkelompok Komprehensif (CGTS) yang melibatkan penyertaan minimum 20 orang. Kebiasaannya peserta terdiri daripada ahli yang berdaftar dengan persatuan kakitangan atau koperasi. Caruman yang dikenakan juga jauh lebih rendah berbanding individu.

“Sistem takaful seperti yang dijelaskan memberi kelebihan dari segi perlindungan dan pelaburan. Untuk tabungan perlindungan (tabarruq), ia akan digunakan untuk membiayai peserta yang ditimpa kemalangan atau diserahkan kepada ahli keluarga,” ujarnya mengenai kelebihan sistem takaful.

Bagaimanapun, katanya, masih ramai yang menganggap sistem takaful sebagai satu bebanan kerana terpaksa menyimpan setiap bulan sedangkan ia memberi jaminan dari segi perlindungan yang tidak diperoleh jika wang itu disimpan di bank.

“Konsep takaful seperti mana yang dinyatakan oleh para ulama diharuskan kerana konsepnya adalah saling membantu dan bekerjasama antara satu sama lain melalui wujudnya tabung perlindungan. Sistem insurans konvensional pula tidak menekankan konsep kerjasama,” kata Mohd. Zamerey.

Berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM), Kadar Penembusan Sijil Takaful adalah 5.5 peratus. Selain Takaful Ikhlas Sdn. Bhd., antara agensi yang telah melaksanakan sistem takaful di Malaysia ialah Syarikat Takaful Malaysia Bhd., Takaful Nasional Sdn. Bhd., Maybank Takaful Bhd. dan Commerce Takaful Bhd..

Terbaru, pada 31 Januari lalu, BNM meluluskan empat lesen baru insuran kepada empat konsortium dan usaha sama untuk mengendalikan konsep takaful yang menyaksikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengadakan kerjasama dengan HSBC Insurance (Asia-Pacific) Holdings Ltd. dan Jerneh Asia Bhd.. Bank Simpanan Nasional pula menjalin perikatan dengan Prudential Holdings Ltd..

Turut menerima lesen takaful baru itu ialah usaha sama Hong Leong Bank dengan Millea Asia (Japan) Pte. Ltd. dan Hong Leong Assurance serta kerjasama antara MAA Holdings Bhd. dan Solidarity Co., Bahrain.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home