Urus rumah tangga bertambah mudah jika suami isteri muafakat
DARIPADA Abu Hurairah, katanya, Saidatina Fatimah meminta kepada Nabi Muhammad SAW seorang khadam (pembantu) dan mengadukan bahawa beliau terlalu penat bekerja. Jawab Rasulullah: “Engkau tidak akan mendapatkannya daripada kami. Mahukah engkau kutunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang khadam? Iaitu, tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 34 kali ketika engkau hendak tidur.” (Hadis riwayat Muslim)
Menurut ajaran Islam, seorang wanita tidak bertanggungjawab untuk mencari nafkah keluarga. Tujuannya supaya isteri itu dapat mencurahkan sepenuh perhatian kepada urusan rumah tangga, mendidik anak-anak dan membesarkan mereka.
Dalam sebuah hadis: Rasulullah bersabda: “Isteri bertanggungjawab dalam urusan rumah tangga suaminya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Begitu pun, tuntutan semasa memerlukan isteri juga keluar rumah berganding bahu mencari nafkah untuk membantu suami menyara keluarga.
Tugas sebagai isteri, ibu dan pekerja tidak dinafikan mengundang rasa penat dan keletihan.
Berikutan itu, ramai antara isteri yang bekerja menginginkan pembantu rumah untuk menolong mereka menguruskan rumah tangga.
Masalah ini sebenarnya tidak hanya boleh diselesaikan dengan adanya pembantu rumah semata-mata.
Keadaan ini dapat diatasi jika suami mempunyai sikap yang memahami keadaan isterinya, tentu tidak berat tulang memberikan kerjasama, menolong serta bertolak-ansur dalam meringankan tugas isteri di rumah.
Keadaan itu bukan saja dapat menyelesaikan masalah rumah tangga daripada berlaku pergaduhan dan sebagainya, malah secara tidak langsung dapat menumbuhkan dan meningkatkan lagi perasaan cinta serta kasih dan sayang antara suami isteri. Mereka dapat menerima dan mengorbankan kepentingan diri.
Isteri juga dianjurkan mengamalkan petua yang diajarkan oleh Rasulullah seperti dalam hadis di atas. Hal ini kerana dengan menyebut nama Allah dengan berzikir kepadanya, jiwa akan tenang, hilang keserabutan dan keletihan.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home