Usrah

...pesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran...

Google

Friday, June 24, 2005

S.A.K.I.N.A.H.?

Keluarga bahagia ikut modul Sakinah


Kebahagiaan menjadi idaman semua. Wartawan ABDUL RAZAK RAAF mendapatkan panduan dan nasihat daripada Mufti Johor, Datuk Mohd Nooh Gadot mengenainya.

SUAMI yang mempunyai kuasa mutlak dalam rumah tangga perlu lebih bertolak ansur dalam memahami keadaan isterinya ketika menempuhi arus kehidupan dalam zaman serba moden dan mencabar ini.

Suami perlu bersikap belas kasihan dan elakkan sikap mementingkan diri sendiri. Isteri pula berkongsi peranan dalam membantu suami mencapai matlamat supaya rumah tangga yang dibina terus kekal bahagia.

Sebaik-baik isteri pula adalah yang menggembirakan suami.

Isteri hendaklah patuh kepada arahan suami selagi tidak bertentangan dengan hukum. Apabila suami tiada di sisi, isteri tahu menjaga kehormatan diri dan harga kepunyaan suaminya.

Antara punca perceraian bermula daripada kerenggangan hubungan suami isteri akibat kurang kasih sayang dan tanggungjawab. Begitu juga lemah dalam komunikasi serta masalah ekonomi dan masalah kesihatan.

Sebab itu, kita mewajibkan setiap lelaki dan wanita yang mahu berkahwin di Johor menjalani kursus praperkahwinan yang juga bahagian pertama modul Keluarga Sakinah bagi mendapatkan ilmu asas perkahwinan.

Dalam kursus berkenaan kita memberi penekanan kepada persediaan kerohanian, mentah, fizikal, emosi, kewangan selain bimbingan dan nasihat.

Tidak nafikan, semua pasangan inginkan rumah tangga sempurna serta dirahmat dan diredai Allah.

Namun, ia bukan boleh diperoleh hanya dengan menadah tangan memohon doa tanpa disusuli dengan usaha dan pelaksanaan seimbang mencakupi pelbagai aspek oleh suami dan isteri.

Sehubungan itu, Modul Keluarga Sakinah dilancarkan Kerajaan Johor pada 11 November 1998 sebagai bahan rujukan menyeluruh dan paling ideal bagi memantapkan institusi kekeluargaan seperti dituntut Islam.

`Sakinah' adalah singkatan daripada tujuh matlamat utama dalam pembentukan institusi keluarga yang menepati ciri yang dituntut dalam Islam.

S - Sabar; A - Amanah; K - Kasih Sayang; I - Intim; N - Nasihat- menasihati; A - Aman damai; dan H - Harmoni.

Program `Keluarga Sakinah' adalah idea pengukuhan keluarga yang dicetuskan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman. Ia sebagai cabang sasaran program agama Islam dalam pendekatan pembangunan holistik yang diperkenalkan sejak awal pentadbiran beliau pada 1995.

Tidak hairan jika pendekatan konsep yang dihuraikan dalam enam modul itu mampu membentuk institusi kekeluargaan berteraskan Islam sejati sekali gus mendapat keredaan Allah.

Modul itu bukan saja melahirkan insan Rabbani yang mempunyai kekuatan dan keteguhan rohani dan jasmani, malah insan yang mampu menyumbang kepada kebaikan bagi diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

Malah, modul keluarga itu turut mampu melahirkan kebahagiaan berterusan di dunia, alam barzah dan akhirat seperti firman Allah bermaksud: "Dan orang beriman yang dituruti oleh zuriat keturunannya dengan cara beriman dan kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya dengan mereka dalam syurga dan dengan itu tidak mengurangi sedikit pun daripada pahala amalan mereka, tiap-tiap seseorang mereka terikat dengan amalan dikerjakan." (Surah al-Thur, ayat 21)

Amalan dalam modul Keluarga Sakinah itu juga membentuk keluarga mantap, bahagia dan mendapat keredaan Allah serta tidak bercanggah dengan nilai murni Islam.

Tekanan kerja dan kos kehidupan yang semakin mencabar bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab kepada anak dan layanan kepada pasangan masing-masing.

Anak adalah amanah dan memainkan peranan penting untuk menjadikan suasana harmoni dalam keluarga.

Dalam membentuk kekeluargaan cemerlang memerlukan anak yang terdidik dengan sifat kasih sayang dan penuh ketaatan serta rasa tanggungjawab kepada agama, keluarga dan masyarakat.

Modul Keluarga Sakinah juga bertujuan mewujudkan ketenangan, kasih sayang, kedamaian dan keberkatan dan pemahaman mengenai batasan dalam berkeluarga.”


PROFIL
NAMA: Datuk Mohd Nooh Gadot
TARIKH LAHIR: 7 November 1946
ASAL: Kampung Tekam Pogoh, Segamat, Johor
KELUARGA: Anak keempat daripada 13 beradik
ISTERI: Datin Kalthom Abd Hamid (suri rumah)
ANAK: Noorhidayah, Noorhayati, Nur Izzati dan Mohammad Noorizzuddi
JAWATAN: Mufti Negeri Johor (sejak Disember 1999)
PENGALAMAN KERJA: Antaranya guru agama Kerajaan Johor (1967); Pemangku Penolong Pemeriksa dan Pendaftar Sekolah Agama Kerajaan Johor; Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri; Penolong Pengarah Institut Dakwah dan Latihan Islam Malaysia; Pendakwa Syarie Johor dan Pemangku Kadi Kota Tinggi dan Johor Bahru.
1979.

Berita Harian: 24 Jun 2005 (Jumaat)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home